Ujian kepada si pejuang

MANUSIA HIDUP SEBAGAI UJIAN

Kehidupan manusia di dunia bukanlah satu yang sia-sia dan akan habis begitu sahaja. Manusia tidak bebas melakukan apa sahaja di dunia mengikut keinginan dan kemahuan dirinya tanpa ada batasan yang mengawalnya. Juga seorang pemimpin tidak wajar mengikut angin nafsu sendiri kerana kehidupan ini punyai matlamat yang sudah di tetapkan sejak tercipta manusiaIni kerana al-Quran menjelaskan bahawa Allah menjadikan manusia hidup di dunia ini sebagai ujian. Firman Allah yang bermaksud:

  ” Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah daripada kalangan kamu yang lebih baik amalannya.” (Al-Mulk: 2)

Setiap amalan manusia akan dinilai dan diberikan balasan. Balasan ini sama ada dalam bentuk ganjaran pahala atau balasan dosa dan azab. Balasan ini samada diberikan ketika di dunia, di alam kubur atau di alam akhirat. Firman Allah yang bermaksud:

“Maka orang yang melakukan amalan kebaikan sebesar zarah akan dapat melihat ganjarannya dan orang yang melakukan amalan kejaharan sebesar zarah akan dapat melihat balasannya pada hari akhirat kelak.” (Al-Zalzalah: 7)

Tujuan ujian-ujian ini dijalankan oleh Allah terhadap manusia ialah untuk menguji kebenaran iman yang ada di dalam dada mereka. Dengan adanya ujian akan dapat membuktikan kebenaran atau kepalsuan iman seseorang. Firman Allah yang bermaksud:

“Apakah manusia menyangka mereka bebas berkata bahawa mereka telah beriman sedangkan mereka tidak diuji.” (Al-Ankabut: 2)

Ulama menyimpulkan ujian yang diberikan oleh Allah kepada manusia dalam tiga bentuk, iaitu dalam bentuk tanggungjawab dan amanah, nikmat, dan kesusahan. Ujian dalam bentuk tanggungjawab dan amanah diberikan untuk melihat sama ada manusia berjaya menunaikannya ataupun tidak. Manusia diuji dengan tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, agama, dan terhadap alam seluruhnya.

Ujian dalam bentuk nikmat pula diberikan untuk melihat sama ada manusia bersyukur atau kufur terhadap Allah. Antara nikmat yang kerap kali disebut oleh Rasulullah s.a.w ialah nikmat usia muda, masa lapang, ilmu, dan harta kekayaan. Manakala ujian dalam bentuk kesusahan diberikan untuk melihat sama ada manusia sabar menanggungnya ataupun keluh kesah serta berputus asa. Kesusahan yang dialami oleh manusia kadang-kadang berbentuk kurang harta, ditimpa bencana dan melapetaka serta dizalimi oleh orang lain. Kesenangan dan kesusahan sebagai ujian dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda menyamakan antara orang fakir yang bersabar dan orang kaya yang bersyukur.

MEMPUNYAI MUSUH KETIKA DI DUNIA

Memang sudah menjadi hikmah Allah Taala dan bersesuaian dengan konsep ujian di dunia, manusia tidak dibiarkan begitu sahaja untuk mengikut dan mematuhi kehendak peraturan dan disiplin syariat yang telah digariskan-Nya. Sememangnya dari asal lagi manusia telah membuat perakuan di hadapan Allah bahawa Dia adalah Tuhan yang sebenar dan tidak ada tuhan lain selain daripadanya. Sekali pandang apabila manusia sudah membuat pengakuan sebegitu maka sudah pasti dia akan mematuhi segala perintah dan larangan Allah. Bagaimanapun, jika kita perhatikan realiti yang berlaku di dunia ialah kebanyakan manusia tidak berjaya melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Kegagalan manusia mematuhi perintah Allah sama ada dalam bentuk suruhan atau larangan ini adalah disebabkan oleh manusia itu sentiasa berdepan dengan musuh yang senitasa berusaha menghalangnya daripada mengikut jalan Allah yang lurus. Antara musuh manusia yang telah dinyatakan oleh al-Quran dengan jelas ialah iblis atau syaitan. Firman Allah mengisahkan episod permusuhan ini di dalam al-Quran setelah Dia mengesahkan bagaimana Iblis diusir daripada syurga diakibatkan keangkuhannya daripada sujud hormat kepada Nabi Adam. Maksudnya:

“Iblis menjawab: ‘Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan menghalangi mereka daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).’” (Al-‘Araf: 16-17)

Oleh kerana pengisytiharan perang oleh iblis terhadap keturunan Adam, maka Allah telah memberitahu bahawa syaitan adalah musuh mereka yang nyata dan memerintahkan mereka menjadikannya sebagai musuh. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu. Maka jadikanlah ia sebagai musuh.” (Fatir: 6)

Di dalam surah Yaasin pula Allah telah memberitahu manusia bahawa Dia telah membuat perjanjian dengan mereka supaya tidak mengabdikan diri kepada syaitan dan menyatakan bahawa syaitan adalah musuh mereka yang nyata. Firman Allah yang bermaksud:

“Bukankah Aku telah membuat perjanjian dengan kamu supaya kamu tidak mengabdikan diri kepada syaitan. Sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata.” (Yaasin: 60)

Syaitan kerap kali mempergunakan nafsu syahwat yang ada di dalam diri manusia untuk menyesatkan mereka dari jalan Allah yang lurus. Sememangnya di dalam jiwa manusia diciptakan nafsu berkeinginan kepada wanita, kekayaan, anak-anak dan binatang ternakan serta kemasyhuran yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan di dunia. Manusia mempunyai kecenderungan hati kepada perkara yang berlainan antara satu sama lain. Kecenderungan inilah yang dipergunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia dan menghalang mereka daripada melaksanakan perintah Allah dan berjalan di atas jalan-Nya yang lurus. Oleh sebab itu syaitan dapat memperdaya semua jenis manusia sama ada manusia berilmu, kaya atau miskin kecuali orang-orang yang mengikhlaskan hati kepada Allah Taala dalam melakukan semua aktiviti Firman Allah mengisahkan ikrar syaitan, yang bermaksud:

“Dan aku pasti akan memperdaya mereka semua kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas.” (Al-Hijr: 40)

Pada hakikatnya syaitan tidak dapat menguasai manusia secara total. Bagaimanapun, corak kerjanya ialah mempengaruhi dan memperhiaskan amalan-amalan buruk sebagai amalan baik bagi manusia. Kadang-kadang ia berjaya menipu manusia dan kadang-kadang tidak berjaya apabila manusia kembali kepada Allah. Manusia yang memilih untuk mengikut syaitan adalah dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka kerana ia adalah pilihan mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara hisab telah diselesaikan: ‘Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepada kamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadap kamu melainkan sekedar aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh itu janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah diri kamu sendiri.’” (Ibrahim: 22).

Selain daripada iblis dan syaitan, manusia juga berdepan dengan tentera-tentera iblis yang lain sama ada dari kalangan orang kafir atau dari kalangan sesama Islam. Orang kafir, terutama dari kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani sentiasa berusaha untuk menjadikan manusia Muslim mengikut jejak langkah mereka yang kufur kepada Allah. Berbagai-bagai bentuk tipu daya dan usaha yang dijalan oleh mereka dalam melaksanakan cita-cita jahat itu. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang hati terhadap kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka.” (Al-Baqarah: 120)

Tentera-tentera sekutu iblis dan syaitan ini kadang-kadang terdiri daripada manusia dan jin. Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah: “Aku berlindung kepada Tuhan yang memelihara dan menguasai manusia. Raja manusia dan Sembahan manusia daripada kejahatan bisikan syaitan yang biasa bersembunyi yang membisikkan kejahatan ke dalam dada manusia dari golongan jin dan manusia.’” (Al-Nas: 1-6)

Kecenderungan nafsu yang ada di dalam diri manusia itu sendiri menjadi musuh dan penghalang bagi manusia mematuhi perintah Allah. Ini kerana nafsu itu amat kerap mengajak kepada kejahatan (dinamakan oleh ahli kaji jiwa Muslim sebagai nafsu amarah) dan menghalang manusia daripada melaksanakan perintah dan suruhan Allah. Nafsu manusia sentiasa suka kepada keseronokan, kerehatan, dan kesenangan.

MANUSIA DIJADIKAN UNTUK MENGABDIKAN DIRI KEPADA ALLAH

Matlamat kejadian manusia di dunia ini telah dijelaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksu:

“Tidak Kami jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Al-Zariat: 56)

Dalam ayat lain Allah menyebut secara jelas dalam bentuk perintah supaya manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai sekelian manusia, sembahlah Tuhan kamu yang telah menjadi kamu dan umat yang sebelum kamu.” (Al-Baqarah: 21)

Intipati pengabdian diri manusia kepada Allah ialah menjadikan semua urusan dan aktiviti yang dilakukannya sama ada berbentuk iktikad, kata-kata atau amalan menepati keredhaan dan kesukaan Allah. Manusia yang mengabdikan diri kepada Allah hendaklah mencorakkan tingkah laku dan kehidupannya menepati hidayah dan syariat Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya jawapan orang-orang beriman apabila mereka diseru kepada Allah dan rasul-Nya untuk menyelesaikan perselisihan sesama mereka ialah mereka berkata “kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Al-Nur: 51)

Sebahagian ulama dalam membahaskan pengabdian diri kepada Allah membahagikan ibadah kepada ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah segala bentuk amal ta’abbudi yang telah digariskan oleh Allah secara terperinci. Melakukan ibadah jenis ini dengan tujuan selain kerana Allah termasuk dalam syirik yang nyata. Manakala ibadah umum pula ialah segala aktiviti yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. Untuk menjadikan aktiviti jenis ini sebagai ibadah, mereka mensyaratkan bahawa ia hendaklah dilakukan kerana Allah dan mengikut disiplin yang telah ditetapkan oleh syariat. Manusia telah berikrar untuk melakukan kedua-dua jenis ibadah ini di sepanjang kehidupannya dan dalam semua aktiviti yang dilakukannya sebagaimana yang diberitahu oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadah korbanku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Dengan itulah aku telah diperintahkan.” (Al-An’am: 162)

Bagaimanapun untuk merealisasikan pengabdian diri kepada Allah dalam semua jenis aktiviti makruf yang dilakukan oleh manusia bukanlah suatu yang mudah. Ini kerana manusia sentiasa berdepan dan dihalang oleh musuh-musuh yang tidak mahu melihat manusia mengikut jalan Allah yang lurus. Oleh hal yang demikian itu, bagi membolehkan manusia merealisasikan tuntutan pengabdian diri kepada Allah, mereka perlu berusaha dan bermujahadah memenangkan tuntutan iman dan menewaskan tuntutan musuh-musuh yang telah dibincangkan sebelum ini. Di sinilah timbulnya konsep mujahadah yang banyak dibincangkan dalam buku-buku tasawuf.

Dengan memahami asas-asas realiti hidup di dunia ini akan membantu individu bertahan dan bermujahadah mengawal diri daripada terseleweng menurut jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Allah dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w dalam apa keadaan sekali pun. Insan yang mempunyai jati diri seperti ini akan berupaya menepis semua perkara yang boleh merosakkan diri. Insan yang berupaya menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan diri akan menjadi aset penting bagi negara sebagai tunggak mencapai wawasan yang diidam-idamkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: