*Tulisan ini di petik dari Laman Malaysia Today tulisan Sdr.Hishamudin Rais. Suatu yang menarik untuk sama-sama kita kongsi dan amat menarik untuk kita buka minda.

LAPAN TIGA DUA KOSONG KOSONG LAPAN

Posted by admin   
Thursday, 05 November 2009 12:47
 

 Sejarah perlawanan akan berterusan tidak putus putus. Jalan yang diteroka bukan siratul mustakim tetapi bengkang bengok dengan ranjau di sepanjang jalan. Kita akan bertemu dengan banyak lagi watak Mat Kotak, Mat Ezam, Mat Badrul Hisham, Mat Zul Nordin, Mat Hasan Ali dan pelbagai jenis Mat Malaon yang akan cuba memberatkan tangan kita ketika rakyat ingin menampar United Malays National Organisation hingga ke liang lahad.

DARI JELEBU

Hishamuddin Rais

Terlalu ramai antara kita yang tidak memahami dengan jelas perjalanan sejarah. Ramai  aktivis politik, pemerhati politik dan juga mereka yang mencampuri parti politik tidak  memahami bagaimana sejarah bergerak.

 Kesilapan wujud kerana penekanan  pembelajaran sejarah amat dikait  dan disangkutkan dengan beberapa susuk dan individu.  Ketika kita belajar sejarah atau tawarikh – anak anak sekolah selalu di paksa untuk mengenal nama, apa yang berlaku dan tahun berapa ianya berlaku.

 Pembelajaran dan pemahaman  sejarah cara ini tidak penuh. Sejarah menobatkan si anu  dan si anu  sebagai manifestasi dalam babak babak sejarah agar ianya dapat difahami. Hakikatnya – perjalanan sejarah tamadun manusia lebih luas dari  hanya mengenali nama-nama orang , nama tempat dan tarikh berlaku.

 Pendekatan sejarah  jenis ini dilakukan  untuk  permulaan pengenalan kita dengan babak sejarah. Contohnya –  memang lebih senang untuk  kita memahami Revolusi Bolshevik 1917 atau Revolusi Tiongkok 1949  dengan melihat peranan yang dimiankan oleh  Marx, Lenin, Trotsky, Mao, Chao En Lai atau Sun Yat Sen.

 Tetapi harus di sedari bahawa susuk-susuk ini  sebenarnya hanyalah  manifesti dari babak sejarah itu. Melalui susuk-susuk ini kita akan dapat memahami perjalanan babak sejarah tersebut. Kita memahami sejarah melalui peranan yang dimainkan oleh susuk ini. Tetapi sejarah perjalanan tamadun manusia lebih luas dari peranan sejarah susuk-susuk ini.

 Individu  memang diakui memainkan peranan dalam sejarah – tetapi ianya hanya sebahagian dari  lakaran sejarah pergerakan tamadun manusia.

 Sejarah perubahan sosial manusia bukan dibuat oleh individu tetapi oleh orang ramai.  Orang ramai  – rakyat jelatalah –  yang sebenarnya mengubah  perjalanan sejarah.  Kemerdekaan Republik Indonesia tidak akan wujud jika orang Indonesia tidak menyahut panggilan Bung Karno. Tiongkok akan terus di jajah jika suara Mao tidak dipedulikan oleh berjuta juta orang China.

 Di Malaysia ini – terlalu ramai  politikus yang menyangka  bahawa susuk mereka cukup penting untuk membawa perubahan sosial. Ini anggapan yang amat salah. Susuk memang penting tapi jika rakyat tidak mengambil pot – susuk ini akan terpeleok.

 Cuba perhatian bagaimana Mat Ezam dilihat bagitu gedebe ketika zaman Reformasi. Beribu-ribu orang datang mendengar ucapan Mat Ezam. Mat Ezam dilihat gah hingga kan dia merasa bahawa tanpa dirinya maka reformasi yang kecut dan kempis. Ini congak  yang salah.

 Mat Ezam hanya menyuarakan pandangan dan keinganan orang ramai yang ingin berubah dan melakuan rombakan sosial. Mat Ezam hanyalah manifestasi dari harapan ini.

 Buktinya: sebaik sahaja Mat Ezam meninggalkan PKR –  Mat Ezam sendiri menjadi kempis dan kecut. Kalau dulu berduyun-duyun rakyat datang berkumpul mendengar Mat Ezam. Sekarang mereka berduyun-duyun meninggaklkan Mat Ezam. Kesian  – apabila dilaporkan bahawa ada kalanya  ceramah Mat Ezam    tidak cukup jemaah kalau hendak bersembahyang Jumaat.  Kalau dahulu sepuluh masjid pun tidak mencukupi. Ini adalah hakikat sejarah – kerana sejarah dibuat oleh orang ramai bukan oleh individu.

 Lapan tiga dua kosong kosong lapan adalah contoh dimana rakyat di negara kita ini bertindak untuk membuat perubahan. Mereka berhasrat untuk menghumbankan gerombolan  United Malays National Organisation yang semakin haprak.  Rakyat merasakan masanya telah tiba untuk mereka melakukan perubahan.

 Jika ada politikus atau YB atau pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang menganggap bahawa susuk merekalah yang membawa satu anjakan politik ini   – maka mereka samalah  seperti Mat Ezam.  Mereka tersalah baca dan tersalah congak. Mereka juga akan dibungkus dalam kotak-kotaknya.

 Jika Zulkifli Nordin atau Hassan Ali menganggap tanpa diri  mereka maka Pakatan Rakyat tidak boleh berjaya  maka  mereka juga akan dihanyutkan oleh rakyat. Jika Badrul Hisham menganggap susuk dirinya bagitu penting maka dia  juga tersalah baca. Dalam gerakan sosial tidak ada satu susuk yang penting.

 Ombak rakyat yang mahukan perubahan tidak akan mengambil kira berapa tebal lilitan serban sang politikus. Tidak kira berapa banyak ijazah yang telah di beli. Tidak kira berapa ramai raja yang telah memberi gelaran Tun Tan Tin. Jika  ombak rakyat sampai – semua akan lingkup.

 Dalam arus perubahan yang kita lihat pada lapan tiga  dua kosong kosong lapan dahulu adalah contoh dimana orang ramai telah membuktikan bahawa mereka ingin berubah. Apabila rakyat ingin melakukan perubahan tidak ada satu pun kuasa dalam dunia ini dapat menahan ombak itu.

 Betul – rakyat boleh didodoi-dodoikan. Betul – rakyat boleh di tipu dengan pelbagai helah. Betul – rakyat boleh diberi gula-gula dan nasi bungkus. Tetapi akan sampai ke satu tahap dimana semua  pembohongan ini akan terbuka. Semua lebong akan dilihat sebagai lebong.

 Dalam perjalanan tamadun manusia tidak ada yang lebih jitu dari kebenaran. Tidak ada yang lebih kompak dari yang hak. Kebenaran dan hak ini mungkin untuk sementara waktu boleh dikaburkan – boleh dipesong alih – tetapi akhirnya kebenaran  pasti akan muncul.

 Sejarah tamadun manusia adalah sejarah perjuangan. Ini wajib diingati untuk dijadikan pedoman dan garis jika ingin bersama dalam arus perubahan sosial. Sesiapa yang memekikan laongan – lawan dan berjuang – maka di situlah rakyat akan berkumpul dan berpayung.

 Perhatikan dan ingatkan kembali bagaimana pada  di minggu pertama dan minggu ke dua ketika  Anwar Ibrahim  dibuang dahulu. Anwar masih membodek  Mahathir dengan kata-kata seperti ‘ dia mentor saya ’  –  ‘ saya anggap Mahathir sebagai ayah…’  dan dan dan. Ucapan-ucapan bodek ini tidak menjemput sesiapa pun untuk turun menyokong.

 Ketika itu  Anwar Ibrahim tidak memekikkan perlawanan  maka tidak ada sesiapa pun yang akan ambil pot atau bersimpati terhadap apa yang dilakukan oleh Mahathir.

 Tetapi apabila slogan – lawan tetap lawan – muncul makan beratus ribu anak muda mula turun ke jalan raya. Pekikan bangun melawan adalah  hukum sejarah tamadun manusia. Perlawaan adalah hukum dialetika yang saintifik – hukum  yang menjadi asas penggerak perubahan  apa sahaja dalam dunia ini.

 Melaongan perlawanan terbukti  lagi dalam  sejarah kes Musa Hitam.  Ketika  Musa Hitam dibuang  dia menikus – tidak melawan. Maka hingga ke hari ini Musa Hitam  akan terus menjadi tun tikus.  Bagitu juga  pada   Anwar  – jika ketika di buang  dahulu  dia tidak melaongan perlawanan – dia juga akan menjadi  dato seri tikus tikus.

 Tetapi waspada – jika Musa dan Anwar  menikus – ini tidak bererti rakyat tidak memiliki niat  untuk bangun melawan. Melawan adalah fitrah semua umat manusia. Jika ada si Polan menjadi tun tikus maka akan muncul susuk baru mengacung tangan membawa gelombang perlawanan.

 Individu dan susuk-susuk ini hanya  berperanan untuk  mengolah fitrah hakiki keinginan rakyat untuk bangun melawan.   Tidak lebih dari itu.  Susuk yang nama mereka disabitkan dengan sejarah revolusi sosial adalah pengolah yang cekap dan pembawa garis politik yang tepat. Susuk ini dapat membetongkan keinginan rakyat yang ingin berjuang untuk mendobrak  kezaliman yang sedia wujud.

 Sejarah perlawanan akan berterusan tidak putus putus. Jalan yang diteroka bukan siratul mustakim tetapi bengkang bengok dengan ranjau di sepanjang jalan. Kita akan bertemu dengan banyak lagi  watak Mat Kotak, Mat Ezam, Mat Badrul Hisham, Mat Zul Nordin, Mat Hasan Ali dan  pelbagai jenis Mat Malaon yang akan cuba memberatkan tangan kita ketika rakyat ingin  menampar  United Malays National Organisation hingga ke liang lahad.

 Tetapi yakinlah  tidak ada satu pun kuasa yang akan dapat menundukkan ombak rakyat. Hanya rakyat yang melakar  sejarah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: